Site Network: Home | Culture | Hotel | Transport | About

Choose one!.



WINDHOEK (Namibia) 20 April – Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, masyarakat perniagaan Malaysia dan Namibia belum memanfaatkan sepenuhnya peluang yang boleh ditawarkan oleh kedua-dua buah negara dan kini tiba masanya hubungan perdagangan sesama mereka diperkukuhkan.

Menurutnya, ini kerana sejak 2004, hubungan perdagangan kedua-dua buah negara adalah amat rendah yang hanya membabitkan kurang 0.01 peratus daripada nilai keseluruhan dagangan Malaysia.

Beliau berkata, bagaimanapun jumlah dagangan Malaysia-Namibia menunjukkan trend yang semakin meningkat apabila pada 2006 bertambah pada paras paling tinggi iaitu AS$29 juta (RM102 juta) dengan eksport bernilai AS$6.7 bilion dan import AS$22.3 juta (RM78.1 juta).

Tetapi tambah Perdana Menteri, produk yang diperdagangkan masih terlalu sedikit, merangkumi hanya kain tekstil dan batu permata.

“Saya juga mendapati pelaburan bersilang Malaysia dan Namibia amat terhad. Ketika ini, hanya sebuah syarikat Malaysia terbabit dalam industri tekstil di negara ini.

“Saya juga dimaklumkan syarikat dari Malaysia ada menunjukkan minat dalam industri automotif, farmaseutikal, pertanian, kewangan dan perkhidmatan telekomunikasi di negara ini. Saya berharap mereka dapat menemui rakan kongsi untuk berniaga,” katanya ketika menyampaikan ucap utama pada majlis Forum Perniagaan Malaysia-Namibia di sini hari ini.

Perdana Menteri adalah dalam rangka akhir lawatan rasmi ke tiga negara di Afrika. Terdahulu beliau melawat Sudan dan Kenya, bermula 15 April lalu sebelum dijadual berlepas pulang esok.

Abdullah berkata, kerajaan Malaysia dan Namibia sudah menyediakan pemangkin yang sah untuk memulakan pelaburan dan hubungan perdagangan iaitu seawal 1994 apabila kedua-dua negara menandatangani Perjanjian Perdagangan, Perjanjian Jaminan Pelaburan dan Perjanjian Perkhidmatan Udara, diikuti Perjanjian Mengelak Percukaian Berganda pada 1997.

Susulan daripada perjanjian itu, katanya, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Negara Malaysia (Matrade) sudah pun menampakkan kehadirannya di negara ini berikutan penganjuran pameran perdagangan utama dikenali Pameran Windhoek, tahun lalu.

“Kerajaan saya juga sudah mempromosi perkongsian kepakaran dan pengalaman antara rakyat kedua-dua negara menerusi Program Kerjasama Teknikal Malaysia. Ramai pegawai dari Namibia sudah menyertai kursus jangka pendek yang ditawarkan institut latihan sektor awam di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia juga sedar Namibia aktif dalam melakukan liberalisasi perdagangan hadapan dan baru-baru ini mengesahkan dan menerima pakai Perjanjian Perdagangan Keutamaan dengan Angola, selain aktif berunding dengan China bagi melaksanakan perjanjian dagangan bebas dua hala.

Sehubungan itu, jelas Perdana Menteri, masyarakat perniagaan Malaysia dan Namibia perlu melihat bukan saja kepada pasaran tunggal tetapi akses yang ada bagi kedua-dua negara untuk meneroka pasaran lebih luas.

Namibia boleh menggunakan Malaysia untuk memasuki pasaran ASEAN manakala bagi Malaysia boleh memanfaatkan Namibia sebagai pintu masuk utama ke rantau Afrika Selatan, katanya.

Seperti Malaysia, kata Abdullah, Afrika menjadi negara anggota Gabungan Penyatuan Peraturan Kastam Selatan Afrika, sebuah kesatuan tertua di dunia yang menjadi akses kepada 200 juta penduduk di 14 negara.

Beliau juga berharap usahawan Malaysia dan Namibia dapat membentuk kesepakatan strategik dalam memajukan bidang pelancongan.

Sementara itu semasa berucap pertemuan bilateral antara delegasi kedua-dua negara, Abdullah berkata, Malaysia dan Namibia mempunyai banyak kepentingan bersama untuk diteroka bagi memperkukuh dan memperluaskan hubungan antara kedua-dua negara.

Katanya, kedua-dua negara harus terus meneroka segala kemungkinan untuk mengukuh dan memperluaskan kerjasama khususnya melibatkan sektor swasta.

“Saya percaya kerjasama itu boleh dibuat dalam bentuk pertimbangan ekuiti, pakatan strategik dan kerjasama teknikal,” katanya.

Abdullah tiba di sini malam tadi dalam rangka lawatan rasmi tiga hari ke Namibia selepas lawatan yang sama ke Sudan dan Kenya. Turut mengiringi lawatan beliau ialah Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed.

Malam tadi beliau turut mengadakan pertemuan dengan warga Malaysia di Windhoek termasuk kira-kira 40 kakitangan kilang tekstil, Rametex Berhad yang mengeluarkan pakaian untuk pasaran Eropah.

– Utusan

0 Comments:

Post a Comment